6 hari hanyut dalam tong ikan, 4 nelayan diselamat

PETALING JAYA: Empat nelayan hanyut selama enam hari dalam tong ikan berjaya diselamatkan selepas bot pancing dinaiki karam di Miri akibat dipukul ombak, pada 30 Jan lalu.

Semua mangsa ditemui sebuah kapal lain pada kira-kira 10 pagi Sabtu, kata Pengarah Zon Maritim Miri Mohd Shafie Paing.

“Kapal Maritim (KM) Tabah memaklumkan bahawa kapal Ultra Jaya telah menemui mangsa yang hanyut di dalam tong ikan pada jarak lebih kurang 75 batu nautika dari muara Sungai Miri kira-kira jam 10 pagi semalam (Sabtu).

“Seramai empat orang mangsa yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 44 tahun kemudiannya dipindahkan ke KM Tabah untuk dibawa ke Jeti Marina Bay, di sini bagi tindakan lanjut,” katanya menurut Utusan Borneo.

Beliau berkata, dengan bantuan Bot Kilat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), kesemua mangsa tiba di Jeti Marina Bay kira-kira 6 petang, Sabtu.

Beliau berkata, setibanya mangsa di jeti, pihak Kementerian Kesihatan membuat pemeriksaan awal dan didapati kesemua mangsa berada dalam keadaan lemah akibat dehidrasi.

Mereka seterusnya dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.

Menurut Shafie, kesemua mangsa keluar memancing sejak 29 Jan, namun pada awal pagi 30 Jan, bot pancing mereka karam dipukul ombak.

Beliau menggesa komuniti maritim agar memastikan bot dalam keadaan baik dan membatalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk.

“Sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, APMM menasihatkan agar sentiasa memakai jaket keselamatan dan membawa bersama peranti ‘Personal Locator Beacon’ (PLB) untuk memudahkan pasukan penyelamat terus ke lokasi kecemasan,” katanya.

Seluruh komuniti maritim dialu-alukan melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Miri di talian 085-418204 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau 082-432016, yang beroperasi 24 jam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Would you like to receive notifications on latest updates? No Yes