Fahmi minta SKMM, polis siasat gambar fitnah PM

PETALING JAYA: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan polis menyiasat satu hantaran di Facebook, yang menurutnya memfitnah Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Fahmi berkata, pemilik akaun Facebook Sam MY itu didapati berniat jahat dan sengaja menimbulkan prasangka buruk terhadap perdana menteri dengan menyiarkan gambar lama berkenaan, yang dikaitkannya dengan saranan kerajaan supaya rakyat mengamalkan sikap berjimat-cermat.

“Pemfitnah ini telah menggunakan gambar lama (individu di kanan gambar Abd Rahman Yusof, kenalan saya telah lama meninggal dunia pada 8 Jun 2021) dalam fitnah ini.

“Saya telah mohon SKMM dan polis siasat segera,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Gambar yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Sam MY semalam memaparkan gambar Anwar sedang makan bersama beberapa individu, dengan kapsyen rakyat disuruh makan menu Rahmah sedangkan perdana menteri menikmati hidangan daging unta.

Bagaimanapun, FMT mendapati pemilik akaun terbabit telah memadamkan hantaran tersebut pagi ini, serta memohon maaf.

Jelasnya, gambar tersebut sekadar hiasan dan dia tidak menamakan mana-mana individu secara khusus dalam hantaran asalnya.

“Saya memohon maaf secara terbuka mengenai perkara ini, sekiranya ada yang terguris perasaan dan menimbulkan pelbagai persepsi yang negatif mengenainya.

“(Hantaran) tersebut telah pun saya padamkan bagi mengelak sebarang kekeliruan dan kekecohan,” katanya dalam satu hantaran baharu di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Would you like to receive notifications on latest updates? No Yes