Angka kematian lebih 5,000; Turki, Syria cari mangsa terselamat

ADANA: Anggota penyelamat hari ini bergegas mencari mangsa terselamat dalam runtuhan ribuan bangunan akibat gempa magnitud 7.8 serta gegaran susulan yang melanda Turki, dengan angka kematian kini melepasi 5,000.

Negara-negara di seluruh dunia menghantar bantuan mencari dan menyelamat, manakala agensi pengurusan bencana Turki memaklumkan lebih 24,400 anggota kecemasan kini berada di lokasi bencana.

Bagaimanapun, mereka berdepan kesukaran akibat kawasan bencana yang terlalu besar malah 6,000 bangunan disahkan runtuh di Turki saja.

Usaha menyelamat turut disukarkan akibat cuaca di bawah paras beku dan hampir 200 gegaran susulan.

Di Antakya, ibu negara wilayah Hatay, Nurgul Atay memberitahu Associated Press beliau dapat mendengar suara ibunya di bawah runtuhan bangunan tetapi tidak mampu membantunya kerana tiada pasukan penyelamat atau jentera berat.

“Kalaulah dapat mengangkat kepingan konkrit kami pasti dapat mengeluarkannya. Ibu berusia 70 tahun, beliau tidak mungkin mampu bertahan lebih lama lagi.”

Gempa bumi berpusat di Kahramanmaras, selatan Turki turut memaksa penduduk di Damsyik dan Beirut bertempiar keluar dari bangunan malah turut dirasai di Kaherah.

Sebastien Gey, ketua misi Doktor Tanpa Sempadan di Syria berkata kemudahan kesihatan di utara Syria terbeban dengan anggota perubatan bekerja tanpa henti untuk membantu mangsa cedera.

Sebuah kapal tentera laut berlabuh di pelabuhan Iskenderun untuk memindahkan mangsa terselamat yang memerlukan bantuan perubatan ke bandar Mersin berhampiran. Di Gaziantep – 33km dari pusat gempa – orang ramai dilihat berlindung dalam pusat beli-belah, stadium, masjid, dan dewan orang ramai.

Naib Presiden Turki Fuat Oktay berkata angka kematian di Turki meningkat kepada 3,419 orang dengan 20,534 cedera.

Jumlah kematian di kawasan ditadbir kerajaan Syria meningkat kepada 812 orang dan 1,450 cedera, menurut kementerian kesihatannya. Di barat laut negara itu yang dikuasai pemberontak, anggota White Helmets berkata sekurang-kurangnya 790 maut dan lebih 2,200 cedera.

Ini bererti jumlah keseluruhan kematian sebanyak 5,021. Pihak berkuasa khuatir angka kematian akan terus meningkat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Would you like to receive notifications on latest updates? No Yes