Kes baharu Covid-19 meningkat 41.7%

PETALING JAYA: Kes baharu jangkitan Covid-19 meningkat sebanyak 41.7%, daripada 1,350 kes kepada 1,913 kes pada minggu epidemiologi kelima (ME5) dari 29 Jan hingga 4 Feb.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian menurun sebanyak 62.5%, iaitu lapan kepada tiga kes dalam tempoh berkenaan.

Secara keseluruhan, katanya, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 di fasiliti kesihatan menurun sebanyak 8.8%, dengan pesakit kategori kritikal kekal tiada perubahan pada 0.5% sementara pesakit kategori ringan menurun 33.3%.

“Katil bukan kritikal tiada perubahan (8%), katil unit rawatan rapi (ICU) tiada perubahan (4%), pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan turun 0.1%,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, kes positif yang dipantau pusat penilaian Covid-19 (CAC) juga menunjukkan trend menurun dengan bilangan kes dirujuk ke hospital menurun 58.3%.

Setakat ini, negara melaporkan 5,037,784 kes, dengan kes aktif berjumlah 9,476. Jumlah kumulatif kes kematian pula sebanyak 36,943 kes sementara empat kluster masih aktif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Would you like to receive notifications on latest updates? No Yes