PETALING JAYA: Tujuh maut selepas van persiaran yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar tembok penghadang jalan di KM4.8 Jalan Genting Highlands tengah hari tadi.
Ketua Polis Pahang, Ramli Mohamed Yoosuf yang berkata, mangsa korban terdiri daripada dua lelaki dan lima wanita.
Katanya, dua lelaki itu adalah pemandu dan kelindan van persiaran, manakala lima wanita adalah penumpang kenderaan terbabit.
“Enam mangsa, termasuk pemandu meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa, iaitu kelindan van meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya menurut Harian Metro.
Ramli berkata, tujuh lagi mangsa cedera dalam nahas itu dirawat di Hospital Bentong dan HKL.
Menurutnya, van persiaran itu dipercayai dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands ke Pulau Pinang dan punca kemalangan masih dalam siasatan.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang memaklumkan 12 wanita dan dua lelaki terbabit dalam kemalangan pada 1.15 tengah hari itu.
Van itu dipercayai terbabas dan melanggar tembok penghadang jalan.