MBPP digesa henti roboh rumah kedai dibina sebelum perang

GEORGE TOWN: Sebuah kumpulan pemuliharaan warisan menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) agar menyekat perobohan empat lot rumah kedai yang dibina sebelum perang di Lorong Kinta di sini bagi memberi laluan kepada pembinaan baharu.

Semakan FMT mendapati pemaju telah memohon kebenaran perancangan dan sedang menunggu kelulusan. Rancangannya adalah untuk merobohkan rumah-rumah kedai berkenaan untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah hotel sembilan tingkat.

Clement Liang daripada Penang Heritage Trust berkata, rumah kedai itu penting dari segi gaya seni binanya, yang menandakan zaman ketika gaya art deco popular di negeri ini.

Rumah-rumah kedai itu dibina menggunakan plaster Shanghai, sejenis plaster simen granolitik yang muncul di Hong Kong pada pertengahan 1920-an, dan Liang menyifatkannya sebagai contoh terbaik bangunan art deco yang diubah suai untuk disesuaikan dengan iklim tropika.

Beliau berkata, tidak banyak bangunan seperti itu yang masih berdiri di negara ini dan Pulau Pinang akan “kehilangan sebahagian daripada rekod fizikal negeri itu yang indah”.

Katanya, rumah-rumah kedai itu patut dipelihara kerana ia boleh menjadi tarikan pelancong.

Sebagai alternatif, katanya, ia boleh digunakan semula sebagai pejabat, hotel atau kediaman persendirian melalui reka bentuk penyesuaian semula oleh arkitek yang memahami kepentingan memelihara estetika dan ciri-ciri bangunan asal untuk daya tarikan pemasaran.

Liang memberi amaran bahawa tindakan merobohkan rumah kedai yang dibina sebelum perang secara berterusan dan pembinaan “bangunan tinggi moden yang tidak sesuai dan menindas” boleh menyebabkan George Town kehilangan statusnya sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.

“Semua bangunan lama ini menceritakan kisah silam kita dan membentuk George Town menjadi sebuah bandar bersejarah menarik yang kita bangga-banggakan,” katanya.

“Kita masih boleh mempunyai projek pembangunan bertingkat tinggi baharu di Pulau Pinang, tetapi kita boleh memilih untuk membinanya di kawasan yang tidak menjejaskan tapak warisan ini dan mengelak daripada membawa lebih banyak trafik ke dalam bandar.”

Aktivis warisan Mark Lay berkata, kerentanan rumah kedai kepada perobohan menyerlahkan perbezaan antara apa yang diperkatakan oleh kerajaan negeri dengan realiti di lapangan.

Beliau mendakwa, kenyataan pegawai negeri mengenai dedikasi mereka terhadap menjaga warisan dan tradisi budaya Pulau Pinang sekadar kata-kata untuk liputan media.

Lay juga berkata, ramai pemilik bangunan warisan, dalam era pasca-Covid, “teruja” dengan prospek merobohkan bangunan warisan dan menggantikannya dengan kondominium bertingkat tinggi.

“Kami bimbang perkara ini akan berlaku pada kadar yang lebih pantas melainkan kita membanterasnya segera,” katanya.

“Majlis bandar raya nampaknya mungkin telah membuat janji kosong kepada Unesco.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Would you like to receive notifications on latest updates? No Yes