PETALING JAYA: Polis menyiasat dakwaan seorang guru mendorong anak muridnya memeluk agama Islam.
Ketua Polis Cheras, Zam Halim Jamaluddin, berkata siasatan dijalankan susulan laporan diterima daripada ibu pelajar terbabit yang tidak berpuas hati dengan tindakan guru itu.
“Laporan tersebut dibuat seorang wanita tempatan pada 10.21 pagi, 7 Feb, yang mendakwa seorang guru lelaki berusia lingkungan 40-an mendorong anak lelakinya yang berusia 15 tahun memeluk agama Islam.
“Sehubungan itu satu kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan, iaitu menyebabkan suasana tidak harmoni di atas alasan agama dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, iaitu menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sehingga kini polis sudah merakam percakapan beberapa saksi.
Zam Halim menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi dan jika mempunyai maklumat berhubung kejadian itu, mereka boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03 92845050/5051 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di 03 21159999 atau balai polis berdekatan.